Kutipan Terkini Filem I'm Not Single

Dengan rezeki yang diberikanNya, filem I'm Not Single berjaya mendapat kutipan sehingga RM 1.3 juta selepas 10 hari tayangan.
Kejayaan ini dicapai bukan sahaja atas usaha pihak Metrowealth sahaja, tetapi kepada peminat filem Melayu yang telah memberi sokongan tidak terhingga kepada filem I'm Not Single ini.

Kutipan I'm Not Single RM 700,000 Untuk Empat Hari Tayangan.

Filem kisah cinta remaja popular, telah mengutip lebih dari RM 700,000 setelah ditayangkan selama empat hari di pawagam seluruh negara.
Filem I'm Not Single ini sedang hangat ditayangkan di pawagam-pawagam berhampiran dan dibintangi oleh Farid Kamil, Intan Ladyana, Awal Ashaari, Lisa Surihani dan penampilan istimewa David Teo dan Ahmad Idham.
Jutaan terima kasih kepada peminat dan penonton filem ini sehinggan memungkinkan kutipan sebanyak RM 700,000 itu. Sokongan anda seterusnya akan kami hargai.

Gambar sekitar "Road Tour" pelakon I'm Not Single di Utara





Baru-baru ini, pelakon filem I'm Not Single yang bakal ditayangkan pada 24 Julai nanti, telah mengadakan siri 'road tour' di utara tanah air.

Siri 'road tour' tersebut bermula di Sentral Square, Sungai Petani dan Central Plaza, di Kedah. Sambutan yang diterima cukup mengalakkan.

Untuk hari berikutnya, pelakon-pelakon I'm Not Single seperti Farid Kamil, Lisa Surihani dan Awal Ashaari bersama-sama meraikan peminat mereka di Pulau Mutiara pula. Mereka telah ke Prangin Mall, Bukit Jambul dan Megamall Penang.

Ucapan jutaan terima kasih kepada para peminat yang telah sama-sama memeriahkan siri 'road tour' ini.

Selamat menonton I'm Not Single di pawagam berhampiran nanti.

Majlis Pra Tonton Media I'm Not Single.


Baru-baru ini bertempat di TGV Mines, telah diadakan majlis pra tonton media, untuk filem ke 25 terbitan MIG Production (Metrowealth), I'm Not Single.
Filem kedua arahan pengarah muda, Pierre Andre, setelah 9 September ini dibintangi oleh pelakon-pelakon popular tanahair seperti Awal Ashaari, Farid Kamil, Intan Ladyana dan bintang baru, Lisa Surihani.
Majlis pratonton tersebut dihadiri ramai tetamu seperti pengiat seni tempatan, pihak media massa dan elektronik, blogger dan jemputan khas. Pelakon-pelakon yang membintangi filem tersebut turut hadir bagi memeriahkan suasana.
I'm Not Single yang menelan belanja sekitar RM 1.5 juta termasuk promosi bakal ditayangkan kepada umum pada 24 Julai 2008.

Apa Kata Pelakon Mengenai Filem I'm Not Single...


“...sebuah filem yang pasti membuat anda tidak bosan menonton. I'm Not Single bukan sahaja sebuah filem komedi kosong, tetapi dipenuhi babak percintaan, nilai kekeluargaan dan positif...” Awal Ashaari.

“I'm Not Single memberi saya peluang kali pertama untuk berlakon di bawah Pierre Andre. Pengarah muda yang cukup berbakat. Dalam pada itu, kemunculan bakat baru, Lisa Surihani, pasti memberi nafas baru kepada dunia seni. Selain itu, filem ini mempunyai jalan cerita yang bagus dan mesti ditonton...”Farid Kamil.

“...filem komedi ringan yang sesuai ditonton untuk pelbagai peringkat umur. Mempunyai tiga buah plot yang cukup menarik dan ianya sebuah filem yang cukup mencuit hati...”Lisa Surihani.

Pelakon


Farid Kamil membawa watak Adam.

Adam merupakan seorang usahawan dan berusia awal 20an.

Dia seorang yang penyabar dan penyayang juga bertanggungjawab. Namun, sifat negatifnya ialah suka memendam perasaan.

Disebabkan perancangan keluarga tanpa pengetahuan Adam, dia telah dipaksa berkahwin pada usia muda.

Pelakon


Jejaka kacak yang diminati ramai kerana lesung pipitnya, Awal Ashaari, memegang watak sebagai Dani.

Dani merupakan seorang pemuda berusia awal 20an. Seorang yang baik hati. Dia merupakan kekasih kepada Maya.

Walaupun Maya sudah berkahwin dengan Adam, dia masih berusaha untuk mendapatkan kembali cinta Maya kepadanya.

Pelakon


Maya, lakonan pendatang baru dalam bidang lakonan, Lisa Surihani.

Seorang gadis cantik yang berusia dalam awal 20 an mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Dia telah dipaksa berkahwin dengan Adam atas perancangan keluarga walaupun masing-masing mempunyai pilihan hati sendiri dan merancang untuk berkahwin.

Maya seorang yang keras kepala dan tidak mendengar nasihat dari suaminya Adam.

Pelakon


Intan Ladyana memegang watak Lisa. Lisa ialah seorang gadis yang mampu berdikari serta baik hati.

Lisa juga seorang gadis yang mempunyai fikiran yang terbuka dalam menangani sesuatu masalah.

Dani telah bertemu dengan Lisa ketika dalam perjalanan mencari Maya.

Pelakon




David Teo, memegang watak David, iaitu majikan sebuah syarikat jualan langsung. Dia mempunyai seorang pekerja iaitu Ahmad, lakonan Ahmad Idham.

Hubungan antara David dan Ahmad sentiasa tidak sehaluan, terutamanya dalam membuat sesuatu keputusan.

Disebabkan itu kelakuan mereka ini sentiasa menimbulkan kelucuan dan mencuit hati.

Sekitar Majlis Pelancaran Album Runut Bunyi Filem I'm Not Single.

Pada 11 Jun 2008 baru-baru ini, telah berlangsung satu majlis pelancaran album soundtrack filem I’m Not Single di Restoran Lemon, Selayang Mall anjuran MIG Production Sdn Bhd.


Turut hadir, pengarah dan pelakon filem ini iaitu Pierre Andre, Lisa Surihani, Ahmad Idham, Awal Ashaari, penerbit David Teo, dan Ronny OIAM2. Di majlis yang diadakan di ruang legar Selayang Mall itu, dua buah lagu telah disampaikan oleh Ronny berjudul Dua Jiwa dan Kembalikan Kasih.

Setelah dibuka dengan bacaan doa, Pierre Andre selaku pengarah filem memberikan ucapan. Saya merasakan selain bakat, Pierre dilihat mampu mendekatkan filem ini dengan jiwa remaja yang menjadi sasaran utama filem ini. Soalnya, mampukah Pierre melakar sejarahnya setelah bergelar penulis skrip, pelakon dan pengarah terbaik? Itu yang mahu dibuktikan oleh Pierre Andre dalam filem ini di mana di samping boleh berlakon, Pierre juga mahu menunjukkan kebolehannya mengarah.

Album runut filem ini dilancarkan untuk memantapkan lagi penceritaan filem ini. Sebanyak empat buah lagi telah dicipta khas sesuai dengan jalam cerita dan mood yang diketengahkan dalam filem ini. Tiga daripadanya dicipta oleh Dakmie berjudul Dua Jiwa, Layar dan Kembalikan Kasih manakala satu lagi dicipta oleh Brian Ng berjudul Yang Terindah. Kesemuanya mendapat sentuhan lirik oleh Dakmie sendiri yang juga merupakan penyanyinya.

I’m Not Single adalah filem ke-25 terbitan MIG Production dan merupakan filem kedua arahan pengarah muda Pierre Andre. Filem ini menelan kos produksi dan promosi sebanyak RM1.5 juta ini telah menjalani pengambaran di Bukit Fraser, Pahang dan sekitar Lembah Klang.

Farid Kamil tidak dapat datang sebab sedang sibuk menjalani pengambaran filem Estet. Selain Farid Kamil, Intan Ladyana, Awal Ashaari juga berlakon bersama pelakon baru yang bermula dengan pelakon iklan iaitu Lisa Surihani.Turut diperkuatkan dengan barisan pelakon seperti Ahmad Idham, Cat Farish, Rusminah Sidek, Jalaludin Hassan, Fadzilah Mansor, Aznah Hamid dan Hafidzuddin Fadzil.

David Teo juga akan turut berlakon dalam filem ini untuk watak komedi sebagai jurujual sebanyak 10 babak. Setiap scene komedi dari David Teo muncul dengan mesej tersendiri seperti rajin berusaha dan berdoa.

Pertengahan Jun ini MIG akan memulakan pengambaran filem ke-29 berjudul Syurga Cinta.

Filem I’m Not Single akan menemui penonton mulai 24 Julai 2008.

(Ihsan dari Sensasi Selebiriti)

Sinopsis



I’m Not Single mengisahkan pasangan Maya dan Adam yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan ibu bapa masing-masing yang bersahabat baik sejak kecil. Walaupun saling membenci dan langsung tidak mempunyai rasa cinta, Adam dan maya tiada alasan untuk membantah tambahan pula perancangan tersebut disokong kuat oleh nenek Maya yang sangat teringin melihat persandingan cucu tunggalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Maya sendiri mempunyai teman lelaki iaitu Dani. Dani dan Maya memang saling cinta mencintai dan telah merancang untuk berkahwin. Dani seperti tidak dapat menerima kenyataan Maya sudah berkahwin mencari jalan untuk mendapatkan Maya semula.

“Percutian bulan madu” di rumah pusaka keluarga Adam bukanlah satu rancangan yang bijak. Pelbagai peristiwa lucu yang mencuit hati berlaku sepanjang mereka tinggal bersama. Dalam masa yang sama mereka saling mengenal hati budi masing-masing. Namun Maya masih bertemu dengan Dani dan Maya mempunyai niat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti memandangkan usianya baru 21 tahun.

Melihat perilaku Maya, Adam menjadi tertekan dan serba salah dengan perhubungan itu. Sehingga pada suatu hari mereka bertengkar dan Maya meminta diceraikan. Adam terus meninggalkan Maya keseorangan. Maya menghubungi Dani dan Dani memberitahu Maya yang dia ada bertemu Adam. Adam telah memberi beberapa pesanan kepada Dani untuk menjaga Maya dengan baik.


Apakah kesudahan perhubungan yang sememangnya tidak sehaluan itu? Segalanya dalam filem I’M NOT SINGLE terbitan ke 25 MIG Production Sdn. Bhd. (Metrowealth) arahan Pierre Andre.

Barisan pelakon yang akan menjayakan filem ini adalah; Farid Kamil, Lisa Surihani, Awal Ashaari, Intan Ladyana, Cat Farish, Ahmad Idham dan ramai lagi.